This awesome blogger theme comes under a Creative Commons license. They are free of charge to use as a theme for your blog and you can make changes to the templates to suit your needs.
RSS

Surat untuk adik adik :

Wahai adik adikku yang ku sayang, hari ini belajar apa? Belajar bersungguh-sungguhkah? Kenapa tadi kelihatan adik adik sekolah semua terkinja-kinja di luar kelas? Sila tumpukan perhatian adik-adik semua kepada pelajaran. Supaya adik adik semua boleh belajar dengan pandai, mendapat markah 100% di dalam semua subjek semasa peperiksaan. Kelak, adik adik semua boleh belajar di universiti seperti adik adik semua tengok di dalam televisyen cerita ali setan tersebut, di mana ogy ahmad daud belum bertudung dan berambut kembang. Tetapi adik adik semua jangan lah pula mengikut perangai seperti ali setan tersebut. Nakal sangat sampai kena paksa berkahwin dengan si Tipah Tertipu itu. Oh ya! Jangan juga adik adik mengikut seperti perangai si Tipah Tertipu itu ya! Jangan memalukan keluarga!

Adik adikku,

2 hari lepas kakak technician yang comel ini ada membuat kerja di site. Hari tersebut kakak technician yang comel ini menjalankan kerja-kerja konkrit untuk struktur slab. Dan hari itu kakak technician yang comel ini terlihat adik adik semua sangat terkinja-kinja di tepi padang. Adik adik semua ingat kakak technician yang comel ini tidak nampak? Kakak nampak…Cuma kakak technician yang comel ini sengaja buat buat tidak nampak. Kalau kakak technician yang comel ini buat buat betul betul nampak, memang nahas adik adik yang comel itu dikerjakan. Kakak technician tidak teragak agak untuk mengarahkan pemandu kren tersebut men’swing’ kan gergaji berantai ke arah adik adik. Kedengaran sangat kejam bukan? Adik adik jangan takut, sebab kakak technician yang comel ini akan melakukan perkara yang lebih kejam lagi sekiranya adik adik masih belum bertaubat, masih meneruskan aktiviti terkinja kinja tersebut seperti manusia yang tidak ada rukun iman dan rukun islam (alhamdulillah…kakak tenchnician penuh dengan ilmu agama di dada)

Adik adikku sayang ,

Janganlah bermain-main di dalam kawasan site, dan ditepi padang, dan di hadapan pintu masuk site kakak technician yang comel itu. Adik adik semua sangat comel, walaupun kakak technician lebih comel daripada adik adik, tetapi tolong jauhkan diri dari kawasan site. Kakak technician yang baik hati ini tidak ingin melihat adik adik yang comel cedera parah akibat di hempap kren atau lori konkrit. Dan juga jangan lupa berpesan kepada ibu bapa adik adik yang comel, jangan lah mem’parking’ kereta sesuka hati di depan papan tanda ‘DI LARANG MELETAK KENDERAAN’. Sangat mencabar kredibiliti kakak technician tahu! Kerana papan tanda tersebut kakak technician yang minta pak cik pakcik kontraktor memasangnya.

Adik adik berbaju sekolah,

Apabila bangunan ini siap kelak, tolonglah menghargai penat lelah kakak technician yang comel, pakcik pakcik kontraktor, pekerja pekerja buruh yang gagah, lori konkrit yang comel, kren yang panjang dan tinggi ini. Sila belajar dan membuat kerja sekolah dengan bersungguh-sungguh. Kerana kami semua berkerjasama dengan penuh tekun untuk menyiapkan bangunan sekolah untuk adik adik ini.

Tahukah adik adik semua? Kakak technician bekerja dari pukul 8.00am sehingga 11.30 pm semata-mata mahu menyiapkan lantai tingkat bawah yang bakal dijadikan kantin untuk adik adik kelak. Kakak technician terpaksa menahan panas, hujan, lapar, dahaga semuanya. Dan yang paling penting kakak technician terpaksa mengabaikan suami kakak yang kacak tersebut terkontang kanting di rumah seorang diri. Sedangkan kakak technician bergelumang dengan debu-debu konkrit yang boleh menjejaskan kesihatan dari pagi sehingga ke malam.

Tahukah adik adik semua? Pakcik pakcik kontraktor seramai 4 orang itu, selalu pening kepala memikirkan duit bayaran yang masih belum diterima untuk menyiapkan bangunan tersebut. Mereka terpaksa bergolok bergadai untuk melangsaikan hutang kepada tokey-tokey cina yang menjual besi sekilo berpuluh-puluh ringgit itu. Adik adik tahu kenapa? Hanya kerana ingin menyiapkan bangunan empat tingkat untuk adik adik semua belajar.

Tahukah adik adik semua? Pekerja-pekerja buruh yang gagah lagi perkasa itu terpaksa bekerja dari pagi sesejuk embun, sampai ke tengahari panas membahang, sehingga ke malam dinihari. Dari basah dek peluh sampai kering dek panas matahari. Tahukah adik adik semua mereka makan seadanya sahaja, semata mata mengejar trip lori konkrit yang comel tersebut. Semakin lama mereka berehat untuk makan dan melepaskan lelah bermakna makin lambat kerja mereka siap. Adik adik semua jangan suka membazir makanan tahu, jangan lah suka komplen makanan di kantin tak sedap, mahal dan sebagainya, janganlah juga adik adik malu untuk membawa bekalan dunia akhirat yang disediakan oleh ibu adik adik walaupun hanya sekeping roti. Kerana, pekerja-pekerja buruh tersebut tetap perkasa dan gagah membuat kerja dengan hanya memakan seketul roti dan meminum air paip yang ditambah dengan ketulan ais. Kakak technician sangat hiba melihat mereka tahu!

Oleh itu adik adik semua yang sedang belajar, belajar lah bersungguh sungguh kerana kakak technician tidak mahu adik adik semua mejadi seorang technician seperti kakak yang terpaksa bekerja dari pagi sampai malam, perlu melihat perkara perkara menyedihkan di site, perlu letih seperti orang yang kerja tak ingat dunia. Walhal kakak technician ini bukan rajin sangat pun. Tengok semasa bekerja masih boleh menaip blog. Kakak technician juga tidak mahu adik adik menjadi kontraktor yang kerjanya asik asik keluar masuk hospital, sebab pening memikirkan masalah duit, duit, duit. Kalau adik adik berminat hendak jadi kontraktor juga, jadilah kontraktor kelas A. Barulah duit adik adik semua di dalam bank, A. Barulah hasil kerja adik adik juga, A.

Ingat adik adik pelajaran menjamin masa hadapan, kakak technician tidak mahu adik adik semua bersusah payah bekerja seperti pekerja pekerja buruh yang gagah lagi perkasa tersebut. Walaupun kelihatan perkasa di dalam site, tetapi tidak kelihatan perkasa di mata masyarakat. Adik adik semua perlu bekerja di dalam pejabat, memakai sut yang cantik dan mahal mahal, memandu kereta mewah, makan tengahari di hotel , barulah adik adik akan kelihatan sangat gagah dan powerful. Ingat ye adik adik belajar bersungguh-sungguh, jangan sia siakan keringat kami semua yang bersusah payah menyiapkan sebentuk bangunan sekolah untuk adik adik semua.

Sekian.

2 comments:

Ayu Ikhwani said...

Byk nye kakak technician comel ni membebel heheh :p Lain kali swing je, kasik amaran kat bebudak itu :p

tun~teja said...

niat di hati memang nak buat mcm tu pun, tapi tunggu sampai dekat-dekat nak habis projek. tak yah ngadap parents budak2 tu...